1 minggu

Hari ini genap seminggu saya bertugas (baca: datang dan pulang) di sini. Rasa berubah-ubah. Sekejap seronok, sekejap bosan. Ada masa mahu sangat menjadi orang yang serba tahu, ada masa tidak peduli. Ada waktu tenang dan damai, ada masa keletihan. Hampir setiap masa menghirup udara kedewasaan. Dunia yang terkawal, percaya diri dan yakin. Banyak masa juga mencari jalan - bagaimana saya boleh jadi lebih bahagia dan gembira. Terapi jangka singkat - seperti selalu - melawat-lawat kedai dan membeli itu ini. Cuma disini, apalah sangat untuk dibeli....

Pulang

Saya telah sampai ke tanahair. Saya telah bertemu dengan manusia-manusia yang saya tinggalkan 3 tahun 8 bulan dulu. Saya telah di rai meriah - "Tahniah Dr Azizah Othman' di Lapangan Terbang Kuala Lumpur. Saya telah dipandu pulang dengan NAZA Kia along oleh adinda saya bersama isterinya dan kekanda kesayangan saya pada malam itu juga.

Pagi keesokannya saya merai kemerdekaan saya - melebihi kemerdekaan ke 51 negara saya. Ada kenduri kesyukuran merai kejayaan saya melangsaikan pengajian tertinggi ini. Ada saudara-mara dan jiran yang datang dijamu ayam masak merah, sayur lemak, ikan kering dan entah apa-apa lagi. Ada hadiah-hadiah dari Adelaide yang di bahagi-bahagi buat yang terpilih. Ada juga hadiah untuk saya - sepasang kurung siap dari kakak Hafsah. Ada penyemat tudung dari kakak Siti Khadijah. Lagi sepasang kurung merah jambu sedondon tudung bawal dari Kelantan hadiah anakanda Aishah sekeluarga. Ada satu patung beruang gaya graduasi dari kakak Haslina. Ada 'sejambak' patung beruang yang pelbagai saiz hadiah anakanda Nadiah dan kekanda Anuar. Ada banyak ucap tahniah dan syukur. Lalu apa lagi mahu saya pada dunia ini. Alhamdulillah - syukur pada Allah yang mengurnia kenikmatan.

Saya berhenti sekarang. Tulisan ini kelewatan hampir 21 hari. Ada perkara besar berlaku - yang sebenar menghalang saya menulis segera; yang mencalar keghairahan cerita pulang.

Ada perkara besar. Ada perkara jiwa. Perkara diri dan percaya.