ayah dan biskut Mcvities

Biskut gandum Mcvities
Ada sebuah balang kaca berisi biskut  diatas meja pantri Jabatan Pediatrik. Menarik. Saya buka penutup balang dan ambil biskut yang saya agak saya kenali. Betul. Biskut gandum Mcvities. Saya ambil 'sebutir' (penjodoh bilangan gaya Kelantan) dan mengambil keputusan untuk memakannya walaupun tiada keperluan fisiologi.  Selain jarang-jarang ditemui, sepatutnya biskut ini adalah biskut biasa, tiada beza dengan yang lain.Tetapi fikiran saya telah berjaya menjadikan biskut ini istimewa kerana kaitan emosi yang saya sangkutkan kepadanya.

Sudah lama saya tidak bertemu atau melihat ayah.  Lama sehingga saya jadi rindu dan sedikit cemburu kepada yang menemuinya. Menjelang Subuh pagi tadi saya dianugerah Allah menemui ayah. Seperti selalu, ayah saya sedang memerhati, kali ini dengan jarak yang dekat, tanpa kata-kata. Susuk tubuhnya kelihatan 'segar' (lagi perkataan gaya Kelantan) - tidak terlalu kurus, jauh sekali gemuk berisi. Ayah segak bersongkok hitam, berkemeja biru gelap yang dimasukkan ke dalam seluar slack hitam. Gaya yang agak berbeza, fikir saya waktu itu. Mungkin ini gaya semasa muda belia. Wajahnya tenang dihias sedikit senyum dibibir melihat telatah saya sedang bersungguh-sungguh berbincang dengan kakak dan anak saudara saya tentang Hari Keluarga yang kami rancangkan. Dan bila azan Subuh kedengaran, saya masih lagi mengingat-ingat dan merasa-rasa indahnya pertemuan singkat buat menyembuh rindu yang dalam dihati saya.

Oh sebenarnya biskut yang sedang saya nikmati ini mengingatkan saya kepada ayah.Ayah dan biskut Mcvities adalah kenangan yang indah. Waktu itu saya bersekolah asrama di Air Molek. Pada saya  'asrama penuh' adalah perkara menjengkelkan yang tiada kuasa untuk saya hindari. Perasaan bersangkut dengannya terpaksa saya telan dan pendam - menurut istilah psikologi, bentuk pertahanan diri ini disebut 'repression'. Berada di asrama penuh, dalam bulan puasa pula akan mencipta satu emosi yang lebih menjengkelkan. Cerita ayah, Mcvities, asrama penuh dan bulan puasa berbunyi begini sebenarnya.

Waktu itu saya ditingkatan 3. Tubuh badan saya tidak banyak berbeza berbanding sekarang, dan saya juga tidak banyak makan. Puasa waktu itu sangat melelahkan. Saya 'agak' ayah saya prihatin dengan selera saya yang sedikit kerana saya perasan dia tersenyum melihat saya makan lebih banyak sewaktu buka puasa. Kerana senang melihat senyumannya, selera saya makin bertambah dan saya makan lebih banyak - ini prinsip 'positive reinforcement' atau peneguhan positif.

Pada tahun itu, seminggu sebelum saya perlu berpuasa di asrama, ayah  membelikan saya sebungkus biskut Mcvities - buat berbuka atau sahur pesannya. Bungkusannya berwarna merah dan seingat saya jumlahnya tidak lebih 10 keping. Jika dipandang remaja hari ini, tiada apa yang menarik dengan biskut ini.

Bagaimana biskut ini jadi sungguh istimewa?

Ia sangat istimewa kerana kaitan emosi yang terbina bersamanya. Saya berasa kasih sayang ayah kepada saya. Saya berasa ayah tealah membuat sesuatu yang lebih dari keperluannya untuk saya. Ayah memberi bekalan walau dia tahu saya diberi makan secukupnya diasrama.  Ayah tidak pernah membeli biskut begini dirumah, tetapi membelinya untuk saya. Biskut ini kelihatan berbeza, lebih besar, tebal, dan rasaya juga berlainan (tidak manis sebenarnya). Biskut ini kelihatan seperti diimport dari luar negara, jadi harganya mungkin juga mahal. Tiada sesiapa diasrama yang saya lihat ada membeli biskut ini. Sangat istimewa bukan? Lucu bila diingat, waktu itu, setiap kali saya berasa lapar kerana berpuasa, saya akan memujuk diri untuk bersabar, sambil mengingat ada biskut yang istimewa menanti saya semasa berbuka nanti.

Terima kasih ayah. Moga Allah mencucuri rahmatNya ke atas ruh arwah ayah yang amat saya sayangi.