merci mon amie!

Blog ini mula bertukar wajah semasa saya bercuti rehat sekitar Mac tahun ini. Waktu itu suami saya sibuk menambahbaik blog kepunyaannya - menawar khidmat sekiranya saya mahu membuat perubahan sama. Selepas bertukar maklumat dengan perunding IT peribadi (tanpa bayaran) saya, blog kami bertukar rupa. Semuanya baik kecuali saya 'kehilangan' satu label yang saya kira amat penting dalam penulisan blog - tarikh. Puas saya mencari jalan mengembalikan semula label tersebut, tapi semuanya tidak berjaya. Cubaan saya menukar 'template' blog berkali-kali juga tidak memberikan sebarang hasil. Bagai tikus membaiki labu, akhirnya saya dapati template blog saya menyerupai satu blog yang dikenali, dan yang saya tidak mahu dikaitkan sama sekali! Waktu itulah saya terus menghubungi perunding IT peribadi saya untuk bantuan menyelamat segera.

Mudahnya apabila memberi hak/ tanggungjawab kepada yang pakar. Alhamdulillah saya berjumpa semula dengan label yang 'hilang'. Saya belum sempat bertanya apa yang dilakukannya. Bukan itu saja, blog saya sekarang berwajah baru - terkini dan sensasi. Saya amat berpuas hati.

Tulisan ini adalah perhargaan terima kasih kepada perunding IT peribadi saya. Terima kasih kerana selalu saja mencuba sehabis baik. Seingat saya, belum pernah dia gagal menjawab permasalahan IT yang saya utarakan - walaupun saya tahu ada perkara yang ditanya langsung tiada berkaitan dengan skop kerjayanya: contohnya, IT graduate tidak terlibat dengan kerja pembaikan printer atau pembelian toner printer.

Selain pelangggan dan perunding IT, sebenarnya kami mempunyai beberapa laras hubungan lain yang lebih intim sifatnya. Bila saya mula menulis tadi, saya fikir saya akan menulis tentangnya,tentang kami, rupanya tidak. Saya telah mengambil masa yang panjang, dan sekarang saya kesuntukan masa. Ada satu jam sebelum perbincangan dengan guru-guru Pusat Dalam Komuniti dan saya belum solat Zuhur atau makan tengahari.

Sampai saya dapat bercerita tentang perunding IT saya ini kelak, lihatlah dulu gambarnya dibawah.