Dua bulan satu hari satu ujian

Alhamdulillah, kelmarin, genap dua bulan pernikahan kami. Moga Allah terus memberkati perhubungan ini dan memberi kasih sayangNya kepada kami. Dalam bahagia yang melimpah, Allah mengusik dengan sedikit ujian kecil.

Kelmarin saya telah menjalani ujian CT-Scan (Abdominal-Pelvic). Ujian tersebut sangat perlu usai ujian ringkas Dr Azidah -Pakar Perubatan Keluarga, yang kemudiannya merujuk saya terus kepada Registrar ObeaGynea Dr Menaga. Melalui Ultra-sound dan ujian klinikal, keduanya sangat pasti terdapat sesuatu yang abnormal dalam perut saya. Keduanya membuat andaian ada ketulan daging membesar meliputi ovari - saiz sebesar 20x17 cm. Alhamdulillah, uterus kelihatan jelas tidak terusik. Namun mereka khuatir sekiranya terdapat juga ketulan asing membesar didalam rectum, memandangkan sentuhan kedalam bahagian tersebut dirasai seperti dihalang ketulan daging. Keduanya tidak pasti - tidak pernah melihat pembesaran ketulan sebesar itu, dan sebegitu gaya dan sifatnya. 2 ketulan membesar membalut ovari dan beberapa ketulan asing disekitar rectum. CT-Scan perlu untuk kepastian. Atas usaha Dr Azidah dan izin Allah yang Pengasih, saya berjaya diuji CT-Scan. Sebelah malamnya, saya dihubungi Dr Azidah memberi makluman akhir sebelum laporan penuh diterima- UNILATERAL OVARIAN TUMOUR. Beliau tidak mahu memberitahu samada ketumbuhan ini bersifat kanser atau tidak, sebaliknya meminta saya bersabar dengan ujian Allah ini.

Untuk semua yang saya sayangi diluar sana - saya tahu kata-kata ini tidak wajar, tetapi ini adalah perasaan saya sekarang.

Kepada suami yang amat saya sayangi dan hormati, saya mohon maaf - sekiranya saya menjadi lemah dengan ujian ini dan perlakuan saya menyulitkan keadaan abang. Saya mohon maaf, sekiranya dengan ujian ini, saya tidak mampu menjadi isteri yang sempurna. Saya mohon maaf, sekiranya dengan ujian ini, saya mengecewakan impian abang. Terima kasih kerana berjanji untuk melalui keadaan ini bersama. Terima kasih kerana bersungguh-sungguh mahu menemani saya dan tidak lari daripada keadaan yang seakan menakutkan ini.

Kepada keluarga saya terutama kekanda Haslina dan bonda yang amat saya sayangi - saya mohon maaf - sekiranya dengan ujian ini, saya tiada cukup masa untuk membalas segala budi baik dan kasih sayang yang diberi selama saya hidup didunia ini. Saya mohon maaf, sekiranya pengorbanan kalian tiada mampu saya bayar. Saya mohon maaf, sekiranya dengan ujian ini, saya terpaksa pula menagih lagi kasih sayang dan pengorbanan kalian. Terima kasih atas perhatian dan kasih sayang.

Saya mohon maaf semua - kerana memohon maaf sebegini.

0 comments: