Saya kira ada beberapa orang menunggu kalau-kalau saya akan menulis tentang peristiwa tersebut. Sebenarnya saya sendiri tertunggu-tunggu bila saya akan bercerita mengenainya disini. "Sedang berfikir bagaimana untuk merakam rasa tersebut dengan tepat" Jawab saya tidak lama dulu bila ada yang meminta saya menulis. Dan sampai hari ini, fikiran tersebut tidak juga dapat diterjemah disini, selain entri bergambar gunung dengan tulisan 'Alhamdulillah'.
Selesai 'chart-round' tadi saya disapa seorang pelajar sarjana perubatan psikiatri. Sedikit dekat dengan doktor muda ini kerana saya sengaja membina ikatan diam-diam selepas mengetahui beliau lulusan sarjana muda kedoktoran dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Ikatan yang saya bina sendiri kononnya kami melalui tarbiah dan falsafah pendidikan tinggi yang serupa. Seperti yang saya jangka, pertanyaan berkisar kesihatan saya. Rupa-rupanya khabar saya telah kembali sedia untuk bekerja tidak sekencang khabar awal mengenai diagnosis mengejut yang agak mengancam dahulu. Begitu agaknya sifat khabar angin - khabar yang menduga lebih cepat dibawa angin berbanding sebaliknya.
Sebenarnya entri ini mengenai perasaan saya usai perbualan tadi. Tanpa fikiran yang banyak, saya telah berjaya menterjemah rasa dan berkongsi cerita dengan beliau mengenai pengalaman singkat yang saya lalui. Saya tidak tahu apa pendapat pelajar ini mengenai jawapan saya, tapi apa yang saya tahu, saya amat berpuas hati bercerita mengenainya. Kesimpulan cerita saya sama dengan entri saya terdahulu - Alhamdulillah.
Rupa-rupanya saya tidak perlu berfikir banyak tentang rasa. Agaknya, semakin banyak saya berfikir, semakin jauh saya dengan jawapan yang saya mahu. Sementelah, siapalah yang tahu jawapan tepat untuk perasaan? Bukankah perasaan itu berubah-ubah sifatnya - seiring dengan sifat hati yang 'dibolak-balik' oleh Allah.
Moga Allah sentiasa letakkan rasa Qanaa'ah dalam diri kita semua, Amin.
2 comments:
Alhamdullillah. Its easy to say it but is it as easy to mean what has been said. That, I think is the real challenge.
On another matter, I always believe that a spontaneous reaction is the most honest. It may not be words but just facial expressions but it will give a good idea of the other person's real response.
Take care.
good :D
Post a Comment