Sepi

Sepi: satu-satunya program raya tahun ini yang berjaya membuat saya lekat di TV sehingga akhir cerita. 

Alhamdulillah, pesawat AK 5280 selamat mendarat di lapangan terbang Kota Bharu pada jam 8:40 pagi dan saya sedang (sedikit lewat) memulakan hari pertama bekerja selepas 10 hari bercuti. Ada pelbagai rancangan kerja dikepala saya sejak dua tiga hari lepas, tetapi saya memilih untuk menulis di sini sebentar. Ya, saya memerlukan satu motivasi tambahan setelah begitu lama bersenang-senang dengan keluarga 'diluar' daerah kerja.

Ahad - 19 September 2010, 10 Syawal 1431. Sengaja saya kosongkan hari pertama ini untuk 'kerja-kerja pentadbiran sendiri'. Kecuali seorang pelajar yang mahu berjumpa untuk sesi kaunseling ringkas, tiada temujanji  lain yang saya buat. Sebelum masuk ke pejabat tadi, singgah melihat peti surat saya, tiada rujukan pesakit baru dari wad, jadi hari ini akan menjadi milik saya sepenuhnya, insyaAllah.

Selesai membaca email universiti dan melihat-lihat rancangan pengajaran dan klinik untuk minggu ini dan seterusnya. Ada tiga email penting perlu disediakan jawapannya, ada dua laporan pesakit perlu dicetak dan dipos. Mujur laporannya telah saya siapkan sebelum bercuti. Ada 4 temujanji untuk klinik hari Isnin dan 6 untuk klinik hari Selasa. Petang Isnin dan Selasa, ada 2 slot pengajaran baru untuk pelajar Tahun 4 dan Tahun 2, masing-masing mengenai 'Effective Communication and Therapeutic Play' dan 'Motivating Behavior Change'. Ada tutorial dengan pelajar Tahun 5 pada hari Rabu berikutnya. Minggu berikutnya ada seminar untuk pelajar siswazah Doctor in Public Health pada hari Isnin, juga perlu mempengerusi Journal Club dan Case Presentation untuk pelajar sarjana Psikiatri pada hari Selasa. Ada slot Behavioral management by psychologist pada hari Khamis untuk pelajar sarjana muda Audiologi dan Pertuturan. Ada jemputan untuk mengisi slot 'Motivasi Hati ke Hati' untuk kanak-kanak penghidapi penyakit Diabetes pada 9 Oktober  dari Sister Ooi di Klinik Pediatrik, saya telah bersetuju, jadi perlu merangka pengisiannya nanti. Ada satu tugasan penting tidak segera perlu diselesaikan dalam tempoh 2 minggu - Modul pengajaran termasuk slides presentation untuk bengkel 3 hari program Sustainability of Services for OKU. Deraf modul telah siap hampir 90%, saya perlu memperinci aktiviti-aktiviti kecil untuk peserta yang merupakan  40 orang guru Pusat Dalam Komuniti terpilih sekitar Kelantan. Ada beberapa lagi tugasan kecil lain - mengambil kereta yang ditumpangkan dirumah seorang teman, memulangkan buku perpustakaan, membayar bil internet dan menempah tiket untuk pulang bercuti Walimah Pak Dik.  

Sepi lagi.

Saya kira sekian banyak tugasan dan amanah yang ada boleh membuat saya keluar dari rasa sepi keseorangan disini.

Saya tersilap.Ada banyak lagi ruang kosong dalam hati yang tidak saya isi. Saya perlukan 'Tombo Ati'.
InsyaAllah, saya akan mula merangka aktiviti dengan Dia.

Entri ini bermula dengan niat menulis tentang keindahan Aidilfitri. Mungkin selepas ini.

3 comments:

siti khadijah said...

Salam, iza, setelah lebih separuh abad hidup, yang Kak Ngah pelajari adalah segalanya sebenarnya bermula dari diri sendiri dan tentu dengan pertolongan dari Nya, di dalam kehidupan seharian ada banyak perkara yang merangsang kepada kesedihan, tetapi kini Kak Ngah belajar untuk segera mematikan "suis kesedihan". Sesekali mungkin tidak mengapa melayan rasa, sambil-sambil itu memohon keampunan dari Allah, sebab semua rasa dan ujian datang dari Allah jua. Allah menguji untuk mengampunkan dosa-dosa kita.
"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.
Surah Ar-Ra'd : 28

azizah said...

Salam Kak Ngah, terima kasih untuk perkongsian pengalaman :-)

Unknown said...

:D (komen yang tak terucap)