1 Januari 2011 - Sabtu
Dirumah ibu mertua saya di Kuala Selangor. Kecuali saya dan Atul (anak saudara berumur 5 tahun) semua yang lain telah keluar 'rewang' (menolong) sejak pagi lagi ke rumah 'orang kaya' di blok A - rumah besar cuma seberang jalan rumah ibu mertua saya - ada kenduri kahwin pernikahan anaknya yang bekerja kapal dengan pasangannya yang bekerja di UPM. Ibu mertua saya adalah ketua masak. Suami dan bapa saudara saya adalah ahli rewang. Semuanya 'rewang' sepanjang hari sejak hari Jumaat lagi. Pulang ke rumah untuk solat Zuhur dan Asar sahaja. Begitu adat masyarakat Jawa - kenduri kahwin berlangsung hampir 3 hari dan acara memasaknya juga memakan masa yang sama. Kasihan juga melihat ibu mertua saya yang kelihatan letih bila pulang ke rumah hampir Maghrib setiap hari. Oh ya, saya dikecualikan dari rewang - demam belum kebah sejak 3 minggu lalu. Selsema dan sakit kepala juga belum hilang-hilang. Atul pula tidak perlu pergi untuk meneman Achik Jijah. Hahaha...
Selesai kerja-kerja rumah yang sedikit. Cuci pinggan, menyapu dan mengemas bilik. Ada 2 bakul baju yang perlu dilipat. Baju didalam mesin basuh perlu disidai. Rasanya tidak perlu memasak, mungkin ada 'berkat' (nasi dan lauk) rumah kenduri tengah hari nanti atau saya sendiri perlu pergi 'becek' (makan kenduri sambil hulur) dirumah yang sama. Ada sedikit perkara perlu diselesai dengan pelajar yang akan buat pembentangan kes pada hari Isnin, justeru saya 'online'. 'Akibatnya' saya leka membaca kiriman terkini saudara-saudara saya di blog dan terpanggil untuk menulis.
Payah juga menulis dirumah. Ada gangguan kecil yang memanjangkan masa menulis. Atul mahu dibuat susu untuk kali kedua pagi ini. Sedar permintaannya sedikit tidak rasional, dia mencari botolnya sendiri dan cuba mencucinya, sebelum membuat permintaan. kedua. Kemudian senyap-senyap dia bermain bedak yang dicampur dengan air kemudian menyapu penuh cermin dan meja solek dengannya. Botol bedak, sikat, dan hampir semua benda dimeja solek sekarang diselaputi bedak air. Saya perlu mempraktik kaedah Stop Think Do (STD) for parents yang selalu saya cadangkan kepada ibu yang datang ke klinik. Dengan suara yang terkawal, saya bertanya apa yang dibuatnya. Kemudian saya beritahu kemungkinan yang akan diterima jika tidak mencucinya sebelum nenek pulang. Kemudian saya beritahu cara untuk mencucinya. Sekarang, saya biarkan dia bermain dulu, sekejap lagi saya akan mengajarnya untuk mencuci pula.
Saya sedang cuba menyambung menulis bila kawan Atul Icha dan Ika datang ajak 'becek' ke rumah kenduri. Rancangan tergendala lagi. Atul berminat mahu mengikut tapi belum mencuci mainannya dan belum mandi. Lagi teknik STD perlu dibuat - problem solving. Dia mahu saya mencucinya dan mula merengek-rengek bila tidak berjumpa kain lap. Saya mencarikan kain lap dan perhatikan caranya mencuci. Perlahan-lahan saya mengajar Atul bila dia mula merengek lagi bila bedak-bedak itu masih masih ada. Kemudian saya menyiapkan cucian dan menyuruhnya membuat kerja yang lebih senang - cuci sikat-sikat dan semua benda yang penuh dengan bedak. Ika yang sibuk-sibuk memanggil Atul untuk tunjukkan cara menggunakan komputer mainanya saya minta tunggu hingga Atul siapkan kerjanya. Kemudian saya minta Atul mandi dan saya carikan bajunya. Icha yang menjerit-jerit minta cepat bersiap saya minta tunggu lagi. Selesai mandi tapi tidak gosok gigi. Merengek lagi kerana mahu cepat. Saya bawa Atul masuk semula dan temankan dia gosok gigi. Masih banyak masa untuk 'becek' dan Achik dah minta Icha tunggu, kata saya. Selesai. Berpakaian, sikat rambut dan Atul sedia untuk becek dengan kawan-kawannya.
Saya menghantar mereka ke depan dengan pesan untuk mencari nenek atau Achik Didi nya bila sampai. Kebetulan diluar rumah, cepat-cepat saya menyidai satu bakul baju. Cepat-cepat masuk untuk menulis lagi. Terpandang kelibat orang diluar, alamak, suami saya sudah pulang dari rewang.
Tamat.
p.s. Saya sebenarnya mahu menulis tentang 2010 - tapi saya perlu masih yang lebih untuk itu, kemudian.
1 comments:
woo.. begitu kesahnye.. haha.. so STD (ni lebih dikenali ramai sebagai penyakit lelaki nih.. kene tuka shortform) sepatutnye diajar kepada parents dulu.. anak2 lebih senang nak follow example dari parents.. kan? :D
Post a Comment