Putih dan polos

Alhamdulillah

Pagi ini saya meminta En Azeli PAR di Jabatan untuk membawakan 50 naskhah Modul Psikologi daripada Jabatan Perubatan Masyarakat ke pejabat saya. Ya, modul pertama yang diusahakan sejak 2 tahun sudah telah berjaya diterbit dan selesai dicetak minggu sudah. Terasa puas  dapat membeleknya, Alhamdulillah


Sederhana saja sifatnya - kecil, putih dan polos

Modul Psikologi bertujuan menjadi bahan rujukan untuk guru-guru di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK). Penerbitannya seiring dengan program pendidikan kemasyarakatan menyeluruh dibawah geran kajian universiti (RU) "Sustainable Optimal Services for Disabled in Kelantan" diketuai pakar perubatan masyarakat, Dr Azriani A Rahman. Bengkel 5 hari di Kampus Kesihatan USM diketuai dua pengarang telah dilaksanakan bagi memberi pendedahan langsung kepada guru-guru PDK sekitar Kelantan mengenai penggunaan kaedah psikologi bagi menghadapi masalah emosi dan tingkahlaku kanak-kanak kurang upaya. Moga usaha yang sedikit ini diberkati Allah dan memberi manfaat kepada Ummah. 


'Model Rabiatul Adawiyah' menunjukkan cara menegangkan otot lengan dan tangan
Adat cubaan  pertama, ada beberapa perkara asas yang tidak memuaskan hati. Namun melalui kekurangan yang ada, muncul pula idea dan peluang untuk menerbit dan mencetak makalah sisipan bersama - mungkin kelak dinamakan Lampiran Kerja Modul Psikologi lantaran wang penerbitan yang masih berbaki.



"Iman, jika membaca entri ini, tolong dapatkan saya alamat anda berenam, terima kasih"
 
Saya berniat menghadiahkan naskhah ini kepada 6 pelajar yang terlibat sama dalam penulisan awal modul ini, semasa mereka menjalani praktikum disini, sekitar dua tahun lepas. Nurul Iman, Rusila, Intan Suraya, Siti Aminah, Maheran dan Norshazwani, saya perlu dapatkan alamat kalian. 



Terima kasih


Dirakam dengan DSLR Olympus milik Haslina Othman yang  mungkin sekarang duduknya dibawah katil dibiliknya

terima kasih
bersusah meredah sesak jalan sempit yang panjang dari senja hingga ke pagi
untuk bertemu cuma sehari


terima kasih
memberi izin kerjaya yang satu
walau harganya pulang petangmu tiada menunggu

terima kasih
tidak merungut pada masakan yang jarang-jarang sekali dihidang
resepi serupa sebelah jari boleh dibilang

terima kasih
menambah kekurangan, membaiki kelemahan
"kain berbunga kecil ini memang menawan....untuk tok wan - tok wan"
"corak abstrak menegak itu juga sesuai... bagai roket terbang ke bulan"

terima kasih
tidak berhenti membaiki diri
bangun segera bila diuji 

terima kasih
jarang sekali berkeluh kesah
walau rungutanku ada ketika tiada munasabah

terima kasih
pada cahaya yang belum mahu tiba
tidak pula  bertanya-tanya
walau diasak harap mereka

terima kasih
2 tahun 5 bulan 19 hari terasa singkat
kasihmu belum puas ku kecap

terima kasih Kekasih                                                                      
atas pinjaman kasih ini
takdirkanlah kami kekal bersama di syurgaMu 


06.06.2012
Kota Bharu


 

  

Raja sehari


                                                        Cenderawasih burung yang sakti,
                                                        Singgah hinggap diatas karang,
                                                          Kasih berputik didalam hati,
                                                        Dari dahulu sampai sekarang.

"Tangkapan' pertama menggunakan NOKIA E5 yang saya perkecilkan kebolehannya. Boleh tahan.

Pengantin dan ibu lebih bersedia kali ini

Jejaka yang menyanyi lagu tangkap leleh dengan sangat merdu ini rupa-rupanya bekas protege Mas Idayu dalam rancangan MENTOL (disebut begini oleh kedua-dua ibu dan ibu mertua saya)

Buat sahabat dan adinda Dr Surini Yusoff, Pakar Genetik di Jabatan Pediatrik USM, selamat menempuh alam rumahtangga yang hebat. Moga dibekalkan Allah dengan hikmah, ketaatan, kesabaran dan kebahagiaan sepanjang perjalanan sampai ke syurga.