Ogos dalam kenangan

Telah beberapa kali dalam bulan ini saya bertangguh untuk menulis di sini - semuanya disebabkan kekangan yang saya cipta sendiri. Hari ini adalah hari terakhir dalam bulan Ogos - tidak boleh tidak, saya perlu menulis sesuatu mengenainya sebelum bulan ini berlalu beberapa jam lagi.

Untuk beberapa tahun kebelakangan ini, bulan Ogos telah menjadi penanda aras pada salah satu pencapaian hidup yang dikurnia Allah kepada saya. Bulan Ogos dalam tahun 2008 merupakan satu bulan yang amat menggembirakan. Ogos 2008 adalah bulan terakhir saya berada di bumi Adelaide, Australia.

Memegang tesis yang siap dijilid adalah kepuasan yang tidak terucap

Minggu pertama bulan tersebut Allah mengurnia rahmatNya yang besar apabila saya berjaya mengesahkan diri untuk menghadiri majlis graduasi University of South Australia bagi menerima ijazah kedoktoran professional dalam bidang psikologi klinikal. Selain 1 tiket tetamu undangan yang diberi percuma kepada setiap pelajar, beserta 1 tiket hadiah graduasi pemberian penasihat pembelajaran saya Monica Behrend, saya menempah 2 lagi tiket tambahan. Ada beberapa orang lagi yang mahu menyertai saya di dewan graduasi, tetapi memandangkan harga tiket yang agak mahal, mereka cuma menunggu diluar dewan.

Beberapa hari selepas itu, saya menerima kunjungan yang amat saya nantikan. Ibu dan kakak kesayangan saya tiba dari Malaysia untuk menyertai graduasi dan 'melancong' melihat-lihat Adelaide dan Melbourne. Saya kira tempoh sebulan terakhir di Adelaide bersama ibu, kakak dan rakan-rakan lain waktu itu adalah waktu yang paling manis untuk dikenang. Seperti komen kakak saya - pengalaman waktu itu adalah seperti mimpi yang menjadi nyata - perasaannya bahagia, bebas, indah dan menyenangkan.

Ustaz Wan, Iyas, Ibu, Kak Yana dan Kak Ina di Cleland Wildlife Park South Australia



Jika arwah ayah saya masih ada waktu itu dan masih sihat, saya pasti beliau juga akan turut serta. Ayah saya tidak pernah gagal menghadiri semua majlis graduasi saya dan adik beradik yang lain sebelum ini. Ada juga beberapa majlis graduasi cucu yang sempat dihadirinya. Ayah pernah bertanya saya harga tiket pergi balik ke Adelaide. Beberapa lama selepas itu saya mengetahui dari ibu, ayah menyimpan RM5000.00 didalam Bank Islam - buat tambang menjenguk saya di Adelaide katanya pada ibu. Hajat ayah yang satu itu tidak kesampaian, dan setahu saya wang tersebut masih di Bank Islam belum dapat dikeluarkan.

Bersama Kak Ina di hadapan Art Gallery North Terrace
Majlis graduasi saya berlangsung pada 15 Ogos 2008 di Adelaide Convention Centre. Dalam derai hujan renyai-renyai musim luruh, saya keluar bersendirian dari rumah menaiki bas ke bandar Adelaide, sebelum berjalan kaki ke dewan graduasi. Saya tiba awal untuk mendaftar dan menjalani latihan kecil sejam sebelum majlis. Ibu, kakak, dan dua sahabat saya bersama suaminya menaiki kereta ke dewan.

Proses pendaftaran dan latihan berlaku dengan pantas dan efisien. Semasa mendaftar saya sedikit terkejut mendapati Monica Behrend adalah salah seorang sukarelawan pendaftaran. Rupa-rupanya beliau sengaja menawarkan diri untuk bekerja dikaunter pendaftaran pada hari tersebut untuk sama-sama meraikan kejayaan saya. Monica adalah orang pertama yang memberi ucapan tahniah kepada saya hari itu. Selepas mendaftar, saya berbaris untuk mendapatkan jubah dan topi. Tiada lagi jubah yang sepadan dengan tubuh saya yang kecil, jadi saya terpaksa berpuas hati dengan jubah saiz M. Di dalam bilik persalinan, ada beberapa orang lagi sukarelawan yang membantu pelajar mengenakan pakaian graduasi dengan sempurna. Salah seorang dari mereka begitu prihatin dan berusaha menukarkan jubah saya dengan pelajar lain. Akhirnya saya dapat juga berjubah saiz S.

Seingat saya ada enam pelajar lain yang menerima ijazah kedoktoran psikologi hari itu. Semuanya adalah pelajar senior yang tidak saya kenali. Kami berbaris diruang hujung pentas. Dalam kumpulan tetamu yang ramai dibawah dewan, saya dapat melihat ibu dan kakak saya dengan mudah kerana tidak ramai tetamu yang bertudung. Sahabat saya Kak Ton, suami dan anaknya tidak pula saya temui kerana mereka tiba sedikit lewat berbanding yang lain. Tidak silap ingatan saya, saya merupakan penerima keempat. Mereka menyebut nama saya sebagai Dr Othman for Doctor of Psychology with a thesis entitled Psychoeducation program for parents of children with cancer. Gambar graduasi di atas pentas - tidak saya beli kerana kosnya yang mahal.

Bersama ibu dan kakak saya di Adelaide Convention Centre, Adelaide.

Majlis selesai lewat petang. Keluar dari dewan, sahabat-sahabat karib saya, Kak Yana, Loraine, Monica, Darinthon, Yan, Izzah, Kak Ton, Ustaz Wan dan Iyas telah sedia menunggu. Selepas puas bergambar, saya bergegas mencari ruang sekitar dewan untuk solat Asar. Kakak saya pula bergegas keluar mengambil kereta sewa sebelum kedai ditutup jam 5 petang. Sampai dirumah hampir Maghrib. Anak saudara saya, Ahmad Arif, datang menziarah dan membawa donut halal yang terkenal di Melbourne. Malamnya kami bersengkang mata menyiapkan bekalan untuk bertolak ke Melbourne keesokan harinya.


Ibu dan Kak Ina di Adelaide City - North Terrace
Beberapa hari seterusnya adalah perjalanan hebat dari Adelaide ke Melbourne. Kami menyewa dua kereta dipandu kakak dan sahabat saya. Terlalu banyak yang menarik waktu ini dan saya kesuntukan masa untuk bercerita mengenainya sekarang.

Akhirnya pada 30 Ogos 2008, saya kembali ke Malaysia. Kepulangan saya bersama ibu disambut dengan kejutan yang menyenangkan dari adik-adik Kumpulan Aktivis Muda YPU (KAMY)diketuai Pengerusi YPU Tuan Haji Mohd Anuar Tahir. Mereka menunggu dibalai ketibaan memegang poster 'Selamat Pulang Dr Azizah - Tahniah'. Malam itu juga saya, ibu, dan kakak bertolak balik ke kampung dengan kereta dipandu adik saya bersama isterinya.

31 Ogos 2008, sehari sebelum umat Islam menyambut Ramadhan. Saya berada di kampung dan ibu mengadakan kenduri tahlil dan kesyukuran. Saya menikmati erti kemerdekaan peribadi yang paling bermakna.

Dua tahun selepas Ogos yang hebat itu, saya masih ingin mengingati dan terus mensyukuri kenikmatan kemerdekaan tersebut, Alhamdulillah.

4 comments:

Hussin said...

You have done well Sis and we are all proud of you! My only regret was Ayah was not around to savour it too. Tapi itu semua ketentuanNya jua. Kalau kita sentiasa ingat dan Redho yang semuanya berlaku dengan kehendakNya maka kita tidak akan risau keterlaluan.

azizah said...

Alhamdulillah. Indeed, having you around us all the time makes it lots easier. We can never thank you enough for keeping us together through thick and thin. Thanks anyway Along!

siti khadijah said...

Iza, mencatat pengalaman sebegini bagus untuk 20, 30 tahun akan datang, jikalau panjang umur, buat tatapan anak cucu kita, orang dulu-dulu tanam durian buat anak cucu, kita yang sudah tidak ada tanah ni, bolehlah menulis blog, relevan ke?

azizah said...

Relevan... Relevan...
Ada banyak lagi fungsi penulisan, one of them is therapeutic-writing